Thursday, December 28, 2006

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W


Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.


Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.


Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AI-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...

Sunday, December 24, 2006

MUSYAHADAH PADA KEAGUNGAN ALLAH


Saban hari kita menyebut Allahu Akbar (Allah Maha Besar) pada setiap kali kita mendirikan solat. Malangnya kebesaran Allah masih belum meresap dan menyelera di dalam jiwa sanubari kita.

Intipati atau ciri-ciri keimanan ialah merasakan kebesaran dan keagungan Allah di dalam diri setiap masa dan ketika dalam semua keadaan. Pendek kata tebal atau nipisnya iman seseorang bergantung kepada bagaimana dia merasakan kebesaran Allah di dalam hatinya. Keyakinan dan keimanan terhadap Allah menjadi pendorong untuk melakukan ibadat sebagai pengabdian diri kepadaNya.

Allah yang membuat, memiliki dan memerintah sekalian alam ini. Malahan diri kita juga adalah kepunyaanNya. Oleh itu mestilah kita mengabdikan diri kepadaNya serta sentiasa meminta pertolongan daripadaNya.

Allah berada di mana saja kita berada. KekuasaanNya sangat hampir dengan diri kita malahan ia lebih hampir dengan urat nyawa kita. Terlalu hampir Allah dengan kita sehinggakan kita tidak merasakan kewujudanNya. Di sinilah letaknya kejahilan dan kecuaian yang serius yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kesombongan dan keangkuhan menjadi semakin teruk apabila kita bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan kita menjadi semakin 'jauh' dengan Allah. Meskipun Allah sangat dan terlalu hampir tetapi dosa kita menjadi 'hijab' yang melindungkan kita dari merasakan kebesaran dan kewujudan Allah Yang Maha Agung.

Hakikat ini kita boleh rasakan sendiri. Orang lain tidak dapat menilai sejauh mana keakraban kita dengan Allah yang mencipta kita. Cuma orang dapat melihat dan menilai diri kita secara zahir. Jika kita taat kepada Allah dalam suruhan dan laranganNya bermakna hubungan kita rapat dengan Allah. Sebaliknya jika selalu melakukan maksiat bererti kita jauh dengan Allah. Allah tidak suka kepada orang yang zalim dan membuat maksiat. Dari segi batinnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Oleh sebab iman menjadi asas kepada keIslaman seseorang, perlulah kita mencari jalan untuk merasa dan menghayati kemanisan iman. Kemanisan iman boleh diusahakan melalui dua jalan iaitu musyahadah dan muraqabah.

Kesemua objek sama ada yang hidup atau bukan hidup adalah ciptaan Allah. Ia menjadi bukti tentang wujudnya Allah. Tanpa Allah, alam ini tidak akan wujud. Ia tidak akan jadi dengan sendirinya. Oleh itu untuk merasakan kehebatan Allah, perlulah kita menyendiri sekali-sekala melihat keajaiban alam dan isinya. Betapa hebatnya Allah menjadikan setiap sesuatu. Allah jadikan manusia pelbagai bangsa dan rupa. Allah menjadikan organ-organ dalam diri kita dengan fungsi masing-masing. Allah menjadikan haiwan pelbagai jenis. Allah menjadikan tumbuhan, ada yang berbuah, berbunga, berduri serta berlainan jenis dan rasa. Demikian juga Allah menjadikan siang dan malam serta cakrawala yang menjadi perhiasan alam. Semua ini menjadi petanda kebesaran Allah yang menuntut kita memerhati dan ber'musyahadah' untuk menguatkan keimanan kita terhadap Allah Yang Maha Besar.

Kita lihat pula sifat setiap objek tersebut. Ada yang manis, tawar, pahit, masin, jahat, baik, panjang, lebar, licin, kesat, bulat, lonjong, berduri, berwarna-warni, kaya, miskin, hina, mulia, gagah, lemah, dan lain-lain lagi yang tidak mungkin dapat kita catatkan meskipun habis dakwat sebanyak air dilautan. Duduklah sendirian dan menungkan hakikat ini, insyallah kita akan merasakan betapa Agung dan hebatNya Allah yang menciptakan segala-galanya sama ada di langit, di bumi dan di dalam lautan.

Kemudian kita lihat pula gelagat manusia dengan pelbagai pekerjaannya. Ada yang bertukang, belajar, bermain, bersawah, memasak, menyapu, mencuri, menyamun, dan sebagainya. Segala bentuk perbuatan mereka adalah gerakan dari Allah. Namun kita tidak boleh sandarkan perbuatan jahat mereka dari Allah kerana manusia diberikan pilihan untuk melakukan yang baik atau jahat. Allah berikan akal kepada manusia untuk mereka lakukan yang baik saja. Malang sekali jika setelah diberikan akal, kita masih melakukan yang buruk dan dibenci oleh Allah.

Dengan musyahadah iaitu memikirkan segala yang tersebut di atas, akan menambahkan keyakinan kita terhadap Allah. Dialah yang mentadbir alam ini. Dia juga yang menghidup dan mematikan manusia. Apa yang Allah kehendaki tetap berlaku meskipun dibenci oleh manusia. Apa yang Allah tidak kehendaki tetap tidak akan berlaku meskipun semua manusia ingin kepadanya. Ibarat ayam sereban kepunyaan kita, kita berhak buat apa saja dan orang lain tidak boleh peduli sama ada kita hendak sembelih atau terus memeliharanya. Begitulah Allah dengan makhluk ini. Dia boleh melakukan apa saja terhadap kita dan manusia lain tidak berhak menyoal atas apa jua kehendak dan (Irodah) Allah. Sebab itulah kita mesti berdoa dan bertawakkal kepada Allah di samping berusaha mendekatkan diri kepadaNya.

Konsep 'Allah berserta kita di mana saja kita berada perlu dihayati serta diyakini setiap ketika. Kesedaran tentang konsep ini akan membuat kita rajin beribadat dan takut membuat maksiat. Inilah kunci atau intisari ilmu tauhid, (PengEsaan) terhadap Allah dalam perbuatan, sifat dan zatNya.

Mengimbas sejarah Nabi Muhammad saw (ber_'uzlah) di Gua Hira' adalah menjadi satu bukti tentang perlunya kita bermusyahadah dalam mencari sesuatu ketenangan dan kebenaran. Baginda dilantik sebagai Rasul setelah menerima wahyu pertama di Gua tersebut.
Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.

Proses musyahadah perlu dilakukan secara konsistan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.

Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.

Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakukan "muraqabah" yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah' (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.

Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan atau melawat di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.
Semoga dengan coretan di atas dapat menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi orang yang soleh dan solehah yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak.

Amin ya Rabbal Alamin.

Tuesday, December 19, 2006

DOSA IBARAT !!!!!!!!!!!


Kepekaan terhadap sesuatu menjadi ukuran terhadap nilai sesebuah masyarakat. Masyarakat yang dibentuk oleh Nabi sangat sensitif terhadap ajaran Islam. Seruan untuk jihad disambut dengan rela hati. Mereka sanggup mengorbankan harta dan diri mereka kerana menegakkan agama Allah. Mereka berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan ketaatan walau sekecil mana sekalipun. Kepada mereka semua kebajikan adalah suruhan Allah. Pada masa yang sama mereka menjauhi segala larangan sama ada yang besar atau kecil. Besar atau kecilnya larangan pada mereka sama sahaja kerana semua itu adalah larangan Allah. Lantaran kepekaan terhadap suruhan dan larangan Allah, mereka sangat takut untuk mengerjakan maksiat walau kesalahan yang kecil sekalipun. Jika mereka membuat kesalahan dan dosa walaupun kecil, mereka merasakan tertekan seolah-olah gunung Uhud akan menimpa dirinya. Apatah lagi jika dosa yang besar.
Masyarakat sekarang sudah banyak berbeza. Kebanyakannya tidak peka terhadap ajaran Islam. Walaupun telah melakukan dosa besar yang sangat banyak, namun dirasakan seperti seekor lalat yang menghinggap batang hidungnya; seolah-olah tidak ada apa-apa. Ini berbeza sekali dengan generasi awal yang merasakan akan dihempap gunung hanya melakukan dosa yang kecil.
Betapa Nabi Adam menangis beratus-ratus tahun hanya melakukan satu dosa sahaja iaitu memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah; sehinggakan airmata tangisannya mengalir menjadi sungai dan laut yang dapat kita manfaatkan hingga dewasa ini. Bagaimanakah keadaan kita adakah kita menangis setelah melakukan dosa bukan setakat satu malahan tidak terkira dosa yang dilakukan?
Hisablah diri sebelum kita dihisab.

Sunday, December 17, 2006

SOLAT TAHAJJUD (PERUBATAN)

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Tidur dan solat tahajjud

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of HumanSciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap.Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.

Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untukmemungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur,mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktutidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.
Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktordari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :

" Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktumalam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

Ibadat tengah malam dan pagi agama lain
Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti 'berzikir' dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antanra agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao,Confusies dan Sikh.

Pendapat ahli sastera barat
Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : " The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep."
Maksudnya " Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur."

"The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night." - Longfellow
Maksudnya " Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. "

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dn gerak otot itu sangat penting dalammemastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.

Saturday, December 16, 2006

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Sekian, wallahualam. Semoga yang baik datang daripada Allah dan yang buruk dari kesilapan sendiri.

Friday, December 15, 2006

CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM

Ummat Islam amat2 memerlukan kalangan pemimpin yang adil, takwa dan taat kepada suruhan Allah SWT, melaksanakan hukum-hukum Allah dan syariat Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, kerana kelak di akhirat, jika mana2 pemimpin melanggar amanah Allah dan rakyat jelata,akan ditanya Rabbul Jalil akan peranan dan sumbangan kepada agama Islam, negara dan rakyat...memang berat tugas pemimpin...perlu memiliki ilmu utk mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi, bertugas sebagai pekerja kepada rakyat dan bukannya atas sebarang kepentingan diri, hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Kewajipan melantik pemimpin yang adil adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah ,ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang melata diatas muka bumi allah ini.Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.

Maka tidak hairanlah ,islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para imam yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama allah daripada terus dicemari.Sabda Rasulullah dalam hadisnya:

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)

Justeru, Islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada umara-rabbani ini.:antaranya:

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.

2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam, ekoran begitu pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka bumiNya ini. Sebagimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat islam.

3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim.

Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya,


" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."


Beginilah syakhsiah yang kita cari, dan inilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh Islam dalam masalah ini.Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah diatas bumi ini.

Thursday, December 14, 2006

SEORANG PADERI DGN SORANG MUSLIM


Semuga kita dapat inayah dan hidayah sekurang2nya menghafalkan dan mengekalkan di otak benak kita agar menjadi pendinding dan juga senjata bagi menangkis gejala dan juga fitnah2 yang tak putus2 di adakan oleh Yahudi dan Nasrani terhadap agama kita !!!!!! .......

Assalamu'alaikum,

Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika.Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang juru dakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut.Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia keberatan, namun karena desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening,sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini." Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya. " Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu bahwa saya seorang muslim?"Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat di wajahmu." Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan keberadaan pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan ugamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat."Si pemuda tersenyum dan berkata, "Silakan!" Sang paderi pun mulai bertanya, "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.""

Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!""Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu,"siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?" "Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?"

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.Setelah membaca Basmalah dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)." (Al-Isra': 12). Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an. - Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (Al-Mulk: 3).

-Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat men-junjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka." (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu'jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.*

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat." (Al-An'am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh.Allah s.w.t. ber-firman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing. " (At-Takwir: 18).

-Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf , yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala. " Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, " tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keledai. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keledai." (Luqman: 19).-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya': 69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t.? "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci surga itu?" mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, "Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya! "Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah."Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda. " Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah:

"Asyhadu An La Ilaha Illallah Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah".

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.

**** Kisah nyata ini diambil dari Mausu'ah al-Qishash al-Waqi'ah melalui internet, www.gesah.net


NOTA:

Ini adalah artikel sulung dari qasha dan merupakan sebuah artikel yang cukup bagus. Ia dapat menyedarkan kita agar membaca dan memahami isi kandungan Al-Qur'an bagi membolehkan kita menangkis tohmahan dan menjawab pertanyaan orang-orang kafir.
Semoga kita sama sama menambahkan pengetahuna dan rasa keinsafan kita kerana berada di atas jalan kebenaran ini.sesungguhnya tidak ada nikmat yang paling besar selain dari kita berada dalam perjuanagn yang suci dan murni menegakkan kebenaran dan agama allah di atas muka bumi ini....insyallah